Showing posts with label Surat-surat buat Muhammad. Show all posts
Showing posts with label Surat-surat buat Muhammad. Show all posts

Sunday, April 15, 2018

Menahan Rindu

14 April 2018

Jumaat

Muhammad yang dirindui,

Jarang sekali aku teringatkan mu beberapa tempoh masa ini. Sombong benar lagakmu Hayati. Meninggalkan cintamu sendiri.

"Tuhan tolong lembutkan hati dia, untuk terimaku seadanya. Kerna ku tak mampu, kerna ku tak sanggup, hidup tanpa dia di sisiku."

Entah kenapa lagu ini meniti di bibir. Barangkali ingin melunakkan jiwaku sendiri Muhammad. Keras sekali.

Apa khabar kau Muhammad? Apa hari mu indah? Aku rindu sekali mendengar suara mu T-T Tahukah kau Muhammad, aku benar-benar merinduimu. Cuma saja, aku terbatas dengan hariku yang berbisik rindu kepadaku, tidak mendengarkan katamu.

Lama ingin aku ceritakan sesuatu yang tak mampu aku luahkan. Dengarkanlah sedikit Muhammad. Sepertinya aku ini manusia yang hidup dalam kata-kata orang lain. Tidak tetap dengan pendirian dan tidak tahu membuat keputusan. Aku ini mementingkan sekali hati orang di sekelilingku. Tapi satu hal yang aku ingati, aku selalu mencari pesan engkau untuk aku terima apa sahaja jalan yang aku lalui.

Seorang penyelam dahulu kala menemukan Mutiara yang luar biasa lalu ingin dijualkan di kota. Ilmu yang tiada serta tamak di jiwa manusiawi, akhirnya mutiara hilang, nyawa insan tersayang tergadai. Ingatkah kau kisah Mutiara ini?

Entah apa lah yang ingin aku katakan ini Muhammad. Sampaikanlah pesan kepada diriku Muhammad agar aku lebih bersangka baik dengan diri sendiri. Lebih menghargai diri sendiri. Mencintai diri sendiri.

Engkau pasti tahu bukan, aku mencintai indahnya ibadurrahman yang berjalan di atas muka bumi dengan tiada keangkuhan. Namun ajarkanlah aku sedikit sahaja Muhammad, untuk menepuk bahu sendiri untuk tersenyum atas nikmat Tuhan dan sentiasa memuji-Nya di saat suka dan duka.

Aku benar-benar merindui mu Muhammad. Entah apa khabarmu di sana. Hampir setahun kita tidak berutus surat. Semoga tulisan ini menjadi titik mula untuk aku luahkan sesuatu yang aku pun tidak tahu terkumpul di dalam hati.

Semoga ada tidur yang indah Muhammad. Janganlah sekali pun kau padam nama aku dari doamu. Sesungguhnya aku perlu doa-doa daripada insan seperti kalian untuk aku tidak hidup sia-sia di atas bumi ini.

Allahumma bārik lanā fī Rajab wa Sha'bān, wa ballighnā Ramadān 🌷💕

Salam rindu,
Hayati.

#pray4ummah

Thursday, July 9, 2015

Memapah waktu

3 Julai
Jumaat

Buat Muhammad,

Malam jadi muram saat aku hilang tujuan. Tiada kesibukan yang memapah untuk aku melewati waktu. Aku jadi kaku dengan waktu.

Saat berdiam, aku jadi tersentak dengan apa yang berlaku. Aku jadi laju menekan aksara di papan. Mungkin sahaja itu salah satu ciri aku di saat kegusaran. Mencari Dia di saat aku tak mampu menunaikan dua rakaat solat itu umpama kedinginan antartika yang menyucuk tulang-belulang. Aku jadi kaku dengan waktu.

Muhammad, satu hari nanti ingin benar aku berceloteh di hadapanmu. Menceritakan segala hal yang berlaku dalam dunia aku. Serakan warna yang bercampur aduk tanpa tujuan. Sekali lagi tujuan. Aku jadi kaku dengan waktu.

Hari itu, aku bertemankan Aminah menunjukkan jalan kepada dua orang sister yang mahu ke Kulliyyah of ICT tetapi sesat ke Kulliyah of Education. Sebenarnya KICT itu sangat jauh nun di atas bukit. Namun, kami berdua tetap menghantar mereka sehinggalah tiba ke blok E-18. Ternyata kelas mereka telah bermula. Bahasa Inggeris.

Ceritanya, aku meluahkan rasa kepada Aminah.

“Sebenarnya Min, hayati tiada sebab yang kukuh pun untuk berada di sini. Ambil semester pendek ini. Kalau lihat sahabat-sahabat lain, mereka punya niat dan tujuan masing-masing, nak perbaiki pointer, nak kurangkan subjek semester akan datang, terpaksa ambil dan lain-lain.” Jelas aku.

“Dan sebenarnya Min, aku cuma mahu bertemu Ramadhan, Ramadhan di sini. Dari jauh lagi dahulu aku perhatikan Ramadhan di sini melalui media sosial. Ternyata aku jatuh cinta padanya lebih dari segalanya.” Bicara hati aku Muhammad. Hanya di hati tersimpan.

Tetapi aku selalu kaku dengan waktu di saat semua pergi. Aku jadi sendiri dengan diri sendiri. Sama ada syaitan ada mahupun tidak, aku tahu aku salah. Wujudkah jalan untuk aku Muhammad?

Ternyata Muhammad, aku takut untuk berdoa kepada Yang Esa. Walaupun aku tahu Dia Maha Mendengar tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya doa itu tidak akan dimakbulkan kerana dosa yang aku lakukan. Walaupun aku tahu Dia Maha Menyembuhkan, tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya sesuatu itu tidak akan berubah melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Walaupun aku tahu Dia Maha Pengampun setelah aku berbuat keingkaran tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya azab-Nya pedih dan perit sekali.

Dan akhirnya aku menangis Muhammad. Ke mana harusku bawa diri ini?

Ceritakanlah kepada aku Muhammad, bagaimana secekal itu jiwamu. Menongkah segala apa  yang terjadi di sekelilingmu. Bawa daku dengan indah senyum mu meniti cahaya agar bisa aku terokai dunia dengan indahnya untuk hidup kali kedua di sana.


Semoga waktu itu mampu diisi dengan sebaiknya hayat.

Salam Ramadhan #22

Sampai nanti,
Hayati

#pray4ummah

Thursday, July 2, 2015

Kerana Surat-surat dari Maninjau



14 Jun 2015
Ahad

Ke hadapan yang dikasihi Muhammad,

Isi surat ini sudah lama aku tuliskan, bertulis tangan ketika perjalanan kerana hati sungguh benar ingin untuk menulis kala itu. Langsir aku selak menampakkan pemandangan di luar sana, tak lepas aku memandang langit yang tidak cerah. 

Pagi itu, hujan lebat bersama angin kencang yang menerbangkan dedaunan. Ayah menghidupkan enjin kereta saga lamanya, mahu menghantar adik ke sekolah. Saat itu aku jadi teringat akan Ayah yang menghantar aku ke sekolah menengah dahulu.

"Sampai bila Yu nak hantar pergi sekolah?"

Sudah hampir 5 tahun aku meninggalkan sekolah, namun Ayah, masih setia menghantar anaknya setiap pagi ke sekolah. Semoga Allah merahmatimu Ayah.

Pagi itu juga, di hadapan cermin aku mengenakan shawl adik perempuanku, Nurain. Setelah siap dililit, tiba-tiba pintu bilik dikuak oleh abang, mahu bersalaman.

"Aku nak pergi belajar ni." kata abang.

Kau tahu Muhammad, aku tersenyum senang menghantarnya ke muka pintu utama rumah sambil shawl masih terlilit di kepala. Hujan di luar seakan tidak menunjukkan sebarang isyarat pun mahu reda. Shawl aku diterbangkan oleh angin, terbuai-buai. Aku meneliti abangku yang mengenakan kaos kaki. Abang sudah punya kumis di antara hidung dan bibirnya, dibiarkan lebat pada usia 24 tahun ini. Saling tak tumpah rautnya seperti abang sulungku.

Tidak lama kemudian, sahabatnya dua orang tiba membawa proton wira berwarna merah hati. Aku menutup pintu mengiringi kepergiannya dan melihat jam di dinding, 7:20 pagi. Sudah boleh bersiap-siap barangkali. Kedengaran kereta Ayah pulang dan aku yang masih terkial-kial membawa tuala untuk ke bilik mandi ditegur oleh Ayah.

"Bangun Yuuu, kata nak balik."

Jadi teringat perbualan tempoh hari bersama Ayah, "Balik sekejap sekadar menjengah rumah sahaja Yu?"

Aku tersenyum lalu menjawab, "Nanti Ayu balik lagi ya Ayah."

Anak dara ambil benar waktu untuk bersiap, jam bakal berlepasnya bas 8:15 pagi. Emak mula menjenguk, "Sarapan dulu Yu. Mak belikan nasi lemak, lontong kering dengan ayam goreng tu." 

Mendengarkan itu, aku lantas menarik tangan Emak, "Jom." Terlihat air kopi susu terhidang di atas meja, biasanya air sebegini milik Ayah. 

"Boleh minum ke ni Mak?"
"Boleh. Tu cawan mak dah letak."

Sekecil-kecil kasih sayang itu, dah buat seorang Hayati terharu di awal pagi. Disuapnya ia lontong kering sambil menahan rasa. Emak makan nasi lemak, diberinya aku ayam goreng untuk dimakan bersama lontong kering. Sedapnya Ya Allah. Ayah yang baru mengambil tempat bersama hanya menjamah ayam goreng yang Mak patahkan bahagian kepak tadi. Aku tersenyum di dalam hati, mensyukuri nikmat terbesar Tuhan yang aku punya saat ini, yang tidak diperolehi mereka.

"Eh, pokok tipu ni hiduplah!" kata aku apabila pokok tiruan ala-ala di i-City menyala lampunya di pagi hari. 
"Kenapa hidup siang-siang ni?" tanya aku lagi.
"Automatik ni. Ada pengesan. Kan hujan ni, gelap." kata Ayah.

Betul, hujan di luar tingkap kereta Ayah terus mencurah laju. Titisan airnya besar-besar mengena cermin hadapan kereta. Sudah 8:05 pagi. Ayah terus memecut hingga ke tempat letak bas gara-gara hujan yang sangat hebat curahannya.

Sewaktu bersalaman, Emak mengirimkan salam buat kakak yang menetap di Shah Alam. Aku mengiyakan tanda menurut. Ayah pula, "Kirim salam anak-anak yatim tu."

Entah kenapa, sebak juga mendengarnya.

Begitulah Muhammad cerita aku saat itu. Menuju Kota Kelip-Kelip. Esok, aku utuskan lagi surat buat kau ya. Sama ada kau baca atau tidak, tidak mengapa. Niatku hanya ingin bercerita dalam persuratan seperti Surat-surat dari Maninjau yang sangat menyentuh hati dengan cinta penuh keberanian.

Sampai nanti,
Hayati.

#surat-suratbuatMuhammad
#mybiggestwishtoseeyouoneday
#pray4ummah