Tuesday, December 29, 2015

seni ozledim




Saturated fat? Ewww...


Cheese is good and delicious too. 

It is a type of saturated fat that becomes solid in room temperature. This type of fat always being in a myth of getting heart attack! The arteries are clogged by it. 

In fact, this is so wrong! 

Actually, the cause of clogged in the arteries is the trans-fat not the saturated fat. Moreover, we need saturated fat for healthy brain function.

grrrrrr
Takdelah. Mana ada rindu sains. 

----------

*Testing and Assessment Class*

Variance, coefficient, mean, variable, difficulty index....

Mana ada kita rindu matematik !

----------

"Ja, i love you, i miss you dalam bahasa turki apa?"
"Senin seviyorum. i love you."


hmm, kita tak rindu awak jugakla naja

----------


seni ozledim - i miss you

haah, rindu semuanya~
bai 

Saturday, November 28, 2015

masih fikir


"kenapa dah lama tak tulis blog?"
"eh ada dua eh dekat draft."
"macamlah orang boleh baca kalau save as draft." ngomelnya sendiri.
"dia tu yang lama tak tulis."
"heheh"
"delete je lah blog tu."
"wow."

*thinking*
delete blog?

-------

beberapa minggu kemudian...
masih fikir, delete blog tu macam mana?

Thursday, October 15, 2015

Cinta kita


"Akak, teman Nisa' simpan ni dekat atas."
"Bolehh. Jom."

Terubat, itu yang aku boleh kata. Sementalahan hari yang penuh kesibukan, aku hentikan seketika untuk memberi kelapangan buat diri untuk jiwa untuk jadi lebih kuat.

------

Kami bertujuh bercadang untuk keluar makan-makan, jalan-jalan. Hanya untuk satu tujuan iaitu keakraban. Seawal masuk ke dalam kereta, aku mendengar luahan hati betapa sedihnya mereka kehilangan kawan yang bersama-sama dalam persatuan ini. 

Berkaca mata berjiwa tenang, Najihah. Berlesung pipit bersungguh-sungguh, Najla Fathi. Kecik molek penyeri suasana, Anis Syahirah. Berasal Sabah manis budinya, Shakira. Bergaya indah tegak pendirian, Sabarina. Berteman lama berhati baik, Saidah Nailah.

Pagi-pagi lagi aku bersiap sedia, jam sepuluh sudah mahu gerak. Sempat menyinggah ke Fellow Room, bayar yuran untuk majlis etika nanti. Sempat juga membantu para MRC; Aqilah, Alia dan Hasya serta Dayah  mempersiapkan diri untuk ke program Gen Z nanti.

Menuju ke Nu Sentral, sudah siap-siap aku fikirkan untuk membeli barang keperluan buat anak-anak Keramat. Kami menuju ke satu kedai makan Korea. Entah apa namanya, dan rasa dia ala-ala maggi kari yang berharga RM18 semangkuk. Haha. 

Sedang mereka menuju ke Aidijuma, aku melangkah bersendirian ke MPH Bookstore. Membahagiakan betul perasaan kaki melangkah tu. Rasa nak terbang! Cehh, hiperbola sangat. Dipendekkan cerita, gembira sebab dapat meluangkan sedikit masa bersama mereka yang selalu berkumpul tanpa aku. 

Sesampainya di UIA, cita-cita nak edit sikit kertas kerja Hamka tu, tapi letih punya pasal, terlelap sampai jam 7. huhu.

Bangun-bangun nak kena fikir hal lainnya. Hal yang membahagiakan 2.0 iaitu Keramat time! Siap-siap, jam 7.50 dah bersedia. Hihi. Semangatnyaaaaaa. 

Dari Mahallah Safiyyah bertemankan Timah dan Nurin, bertemu Fahmi di Tangga Besaq meninggalkan Ruby sendirian, menuju ke Mahallah Asma' menjemput si manis Fadhlin Rifqah, pertama kali bertentang empat mata. 

Rifqah comel! 

Tersenyum sepanjang masa sehingga tiba di muka pintu, "Kakak!" Jeritan yang membahagiakan. Hati berbunga-bunga bukan kepalang. Senyuman tak lekang. Rasa nak peluk setiap seorang. 

Gadis-gadis kecil masih lagi di tingkat atas, ada yang sudah tidur masih bertelekung. Ada yang main belon. Ada yang duduk bersandar. Ada yang tersenyum. Ada yang berkumpul.

"Awalnya dah tidur." - Kak Yati 
"Diorang demam." - Khaulah 
"Ehh.. Marihah pun?" tanya aku sambil melihat Marihah yang sedang tidur. 
"Takk, Marihah tak demam." - Zamilah
"Siapa yang demam?" - Kak Yati
"Shikin, Athiah dengan ..." - Insyirah
"Kejut. Bawak tidur dalam." - Kak Timah

Marihah pun terbangun dari tidur sambil tersenyum. Bersalaman dan hangat badannya. Cepat sembuhlah semua. Sobs. Kakak tak kuat tengok awak-awak tak sihat.

"Kakak, kite ada kerja sekolah. Susah." - Marihah. 
"Okay jom buat, tengok." 
"Nah." 
"Tunai.. Kredit.. Prabayar..aaaaaa, tak pandai akaunnn."
"Ini contoh soalan KSSR Darjah 6 tahun depan kak." terang Marihah lagi. 
"Nanti kita turun, abang Fahmi pandai akaun." 
"Jom."

Syuhada, membaca. 
"Cantik, hodoh. Besar, pendek." - Syuhada 
"Hoi, besar kecil lah." - Marihah 
"Syuhada baca sini meh. Cantik, beautiful." 
"Bi.. yu.. ti.. ful.. biyu.. tiful.."
"Pandai."
Nisa berkeliaran, berjalan. Anak kecil ini yang aku tegur waktu pertama kali dia tiba di sini. Pandai orangnya. Ujian Diagnostik yang dijalankan menunjukkan Nisa sudah pandai membaca seawal 5 tahun lagi. Bersama dengannya sepanjang waktu sehingga dia sudah terbiasa dengan kehadiran kami. Setahun berlalu, Nisa sudah pandai membawa diri menyantuni yang lain.

"Akak, teman Nisa' simpan ni dekat atas." 
"Bolehh. Jom."
"Hihi, bersepah sikit." Nisa' membuka almari bajunya.
Kelihatan sekeping gambar seorang anak kecil bersama ibunya, jelas tertera tulisan di tepi kiri bingkai gambar, "Mama sayang Nisa".

"Wahh, ni siapa?" terlanjur aku menuturkan kata, terlupa menjaga hati si kecil ini.
"Tiada siapa. Kakak nak gula-gula?" 
"Nak!" maaf Nisa'.
Di bawah, masih lagi mereka berempat menyantuni anak-anak ini. Fahmi memerah kepala memikirkan pembelajaran yang telah hampir 5 tahun ditinggalkan. Fatimah pula dengan riang tawanya melihat Fatimah Junior melukis rumah serta awan biru di langit. Nurin pula dengan cekal melayan kerenah anak-anak lelaki serta anak-anak perempuan yang lainnya. Rifqah pula memeluk dua anak-anak di sisinya. 

------

Terima kasih untuk kasih sayang yang terbagi. Terima kasih untuk bekal di malam hari, sedap! Gembira. Alhamdulillah.

#pray4ummah

 

Thursday, July 9, 2015

Memapah waktu

3 Julai
Jumaat

Buat Muhammad,

Malam jadi muram saat aku hilang tujuan. Tiada kesibukan yang memapah untuk aku melewati waktu. Aku jadi kaku dengan waktu.

Saat berdiam, aku jadi tersentak dengan apa yang berlaku. Aku jadi laju menekan aksara di papan. Mungkin sahaja itu salah satu ciri aku di saat kegusaran. Mencari Dia di saat aku tak mampu menunaikan dua rakaat solat itu umpama kedinginan antartika yang menyucuk tulang-belulang. Aku jadi kaku dengan waktu.

Muhammad, satu hari nanti ingin benar aku berceloteh di hadapanmu. Menceritakan segala hal yang berlaku dalam dunia aku. Serakan warna yang bercampur aduk tanpa tujuan. Sekali lagi tujuan. Aku jadi kaku dengan waktu.

Hari itu, aku bertemankan Aminah menunjukkan jalan kepada dua orang sister yang mahu ke Kulliyyah of ICT tetapi sesat ke Kulliyah of Education. Sebenarnya KICT itu sangat jauh nun di atas bukit. Namun, kami berdua tetap menghantar mereka sehinggalah tiba ke blok E-18. Ternyata kelas mereka telah bermula. Bahasa Inggeris.

Ceritanya, aku meluahkan rasa kepada Aminah.

“Sebenarnya Min, hayati tiada sebab yang kukuh pun untuk berada di sini. Ambil semester pendek ini. Kalau lihat sahabat-sahabat lain, mereka punya niat dan tujuan masing-masing, nak perbaiki pointer, nak kurangkan subjek semester akan datang, terpaksa ambil dan lain-lain.” Jelas aku.

“Dan sebenarnya Min, aku cuma mahu bertemu Ramadhan, Ramadhan di sini. Dari jauh lagi dahulu aku perhatikan Ramadhan di sini melalui media sosial. Ternyata aku jatuh cinta padanya lebih dari segalanya.” Bicara hati aku Muhammad. Hanya di hati tersimpan.

Tetapi aku selalu kaku dengan waktu di saat semua pergi. Aku jadi sendiri dengan diri sendiri. Sama ada syaitan ada mahupun tidak, aku tahu aku salah. Wujudkah jalan untuk aku Muhammad?

Ternyata Muhammad, aku takut untuk berdoa kepada Yang Esa. Walaupun aku tahu Dia Maha Mendengar tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya doa itu tidak akan dimakbulkan kerana dosa yang aku lakukan. Walaupun aku tahu Dia Maha Menyembuhkan, tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya sesuatu itu tidak akan berubah melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Walaupun aku tahu Dia Maha Pengampun setelah aku berbuat keingkaran tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya azab-Nya pedih dan perit sekali.

Dan akhirnya aku menangis Muhammad. Ke mana harusku bawa diri ini?

Ceritakanlah kepada aku Muhammad, bagaimana secekal itu jiwamu. Menongkah segala apa  yang terjadi di sekelilingmu. Bawa daku dengan indah senyum mu meniti cahaya agar bisa aku terokai dunia dengan indahnya untuk hidup kali kedua di sana.


Semoga waktu itu mampu diisi dengan sebaiknya hayat.

Salam Ramadhan #22

Sampai nanti,
Hayati

#pray4ummah

Thursday, July 2, 2015

Kerana Surat-surat dari Maninjau



14 Jun 2015
Ahad

Ke hadapan yang dikasihi Muhammad,

Isi surat ini sudah lama aku tuliskan, bertulis tangan ketika perjalanan kerana hati sungguh benar ingin untuk menulis kala itu. Langsir aku selak menampakkan pemandangan di luar sana, tak lepas aku memandang langit yang tidak cerah. 

Pagi itu, hujan lebat bersama angin kencang yang menerbangkan dedaunan. Ayah menghidupkan enjin kereta saga lamanya, mahu menghantar adik ke sekolah. Saat itu aku jadi teringat akan Ayah yang menghantar aku ke sekolah menengah dahulu.

"Sampai bila Yu nak hantar pergi sekolah?"

Sudah hampir 5 tahun aku meninggalkan sekolah, namun Ayah, masih setia menghantar anaknya setiap pagi ke sekolah. Semoga Allah merahmatimu Ayah.

Pagi itu juga, di hadapan cermin aku mengenakan shawl adik perempuanku, Nurain. Setelah siap dililit, tiba-tiba pintu bilik dikuak oleh abang, mahu bersalaman.

"Aku nak pergi belajar ni." kata abang.

Kau tahu Muhammad, aku tersenyum senang menghantarnya ke muka pintu utama rumah sambil shawl masih terlilit di kepala. Hujan di luar seakan tidak menunjukkan sebarang isyarat pun mahu reda. Shawl aku diterbangkan oleh angin, terbuai-buai. Aku meneliti abangku yang mengenakan kaos kaki. Abang sudah punya kumis di antara hidung dan bibirnya, dibiarkan lebat pada usia 24 tahun ini. Saling tak tumpah rautnya seperti abang sulungku.

Tidak lama kemudian, sahabatnya dua orang tiba membawa proton wira berwarna merah hati. Aku menutup pintu mengiringi kepergiannya dan melihat jam di dinding, 7:20 pagi. Sudah boleh bersiap-siap barangkali. Kedengaran kereta Ayah pulang dan aku yang masih terkial-kial membawa tuala untuk ke bilik mandi ditegur oleh Ayah.

"Bangun Yuuu, kata nak balik."

Jadi teringat perbualan tempoh hari bersama Ayah, "Balik sekejap sekadar menjengah rumah sahaja Yu?"

Aku tersenyum lalu menjawab, "Nanti Ayu balik lagi ya Ayah."

Anak dara ambil benar waktu untuk bersiap, jam bakal berlepasnya bas 8:15 pagi. Emak mula menjenguk, "Sarapan dulu Yu. Mak belikan nasi lemak, lontong kering dengan ayam goreng tu." 

Mendengarkan itu, aku lantas menarik tangan Emak, "Jom." Terlihat air kopi susu terhidang di atas meja, biasanya air sebegini milik Ayah. 

"Boleh minum ke ni Mak?"
"Boleh. Tu cawan mak dah letak."

Sekecil-kecil kasih sayang itu, dah buat seorang Hayati terharu di awal pagi. Disuapnya ia lontong kering sambil menahan rasa. Emak makan nasi lemak, diberinya aku ayam goreng untuk dimakan bersama lontong kering. Sedapnya Ya Allah. Ayah yang baru mengambil tempat bersama hanya menjamah ayam goreng yang Mak patahkan bahagian kepak tadi. Aku tersenyum di dalam hati, mensyukuri nikmat terbesar Tuhan yang aku punya saat ini, yang tidak diperolehi mereka.

"Eh, pokok tipu ni hiduplah!" kata aku apabila pokok tiruan ala-ala di i-City menyala lampunya di pagi hari. 
"Kenapa hidup siang-siang ni?" tanya aku lagi.
"Automatik ni. Ada pengesan. Kan hujan ni, gelap." kata Ayah.

Betul, hujan di luar tingkap kereta Ayah terus mencurah laju. Titisan airnya besar-besar mengena cermin hadapan kereta. Sudah 8:05 pagi. Ayah terus memecut hingga ke tempat letak bas gara-gara hujan yang sangat hebat curahannya.

Sewaktu bersalaman, Emak mengirimkan salam buat kakak yang menetap di Shah Alam. Aku mengiyakan tanda menurut. Ayah pula, "Kirim salam anak-anak yatim tu."

Entah kenapa, sebak juga mendengarnya.

Begitulah Muhammad cerita aku saat itu. Menuju Kota Kelip-Kelip. Esok, aku utuskan lagi surat buat kau ya. Sama ada kau baca atau tidak, tidak mengapa. Niatku hanya ingin bercerita dalam persuratan seperti Surat-surat dari Maninjau yang sangat menyentuh hati dengan cinta penuh keberanian.

Sampai nanti,
Hayati.

#surat-suratbuatMuhammad
#mybiggestwishtoseeyouoneday
#pray4ummah

Wednesday, July 1, 2015

حين


membaca Surat-surat dari Maninjau sejak awal
aku ingin juga yang seperti itu
saling membalas surat menggunakan bahasa lama 
tapi terikat indah lentoknya

garapan hal-hal kecil
mahu; semahunya juga dibuai rasa 
seperti membaca surat-surat dari Maninjau

aku jadi rindu dengan penulisan halus seperti itu
mahu saja dipejamkan mata merasainya
jadi ketagihan tak mungkin dipisahkan

dalam waktu hin
aku rindukan seorang bidadari 
sama ada realiti atau fantasi atau imaginasi atau angan-angan
dan mungkin juga cita-cita

khayalan tak mungkin terjadi hayati
kalau langkahmu kau undurkan
keluhan rasa sang bidadari dari jauh
merinduimu tanpa henti
apa kau kira itu?

pengaruh Surat-surat dari Maninjau
bikin hati mati merusuh 
merusuh mahukan hati untuk hidup
sehijau kehidupan di daerah sana

----------

14 Ramadhan 1436
7 hari lagi~

Tuesday, June 2, 2015

Di Sebuah Lorong


Bagaimana nak mula ? 
Cerita apa ?

Pengalaman hidup semestinya mendewasakan setiap dari kita walaupun kadang-kadang tidak semua. Berdiri sekelompok dengan manusia berjiwa bantah dan memberontak, buat hasil didikan nurani patuh dan terima dalam diri goyah seketika. Teringat jelingan mata mak kepada kami semua, membuatkan kami adik-beradik duduk diam berbual bersama tanpa berlari sana-sini seperti anak kecil yang lain. 

Hidup kami di rumah itu, di sebuah lorong yang penuh kenangan. Saat mandi parit depan rumah, saat main banjir keliling rumah, saat main masak-masak di tepian, saat main kejar-kejar antara kami. Lorong itu, cuma ada 4 biji rumah. Itupun rumah sebelah, kami tak pandai berkawan kerana jarang-jarang anak-anak seumur kami pulang ke rumah datuknya di lorong itu. 

Pernah sekali, di pemisahan parit antara rumah kami dan rumah nombor 3, di situlah kami bertegur sapa dengan cucu-cucu jiran kami yang baru pulang dari Australia. Gelabah nak menyusun kata-kata, maklumlah orang putih tu!

"What is your name?"
"I'm Iki and this is Ika."
"Ohhhhh..."
Kami hanya melongo mendengar kefasihan mereka berbahasa Inggeris nak berbual seterusnya kena fikir ayat seterusnya yang belajar di sekolah untuk diaplikasikan ke dunia sebenar pula. Aduhh, kami hanya tersenyum memandang mereka dan mereka juga berbuat hal yang sama sehinggalah datuk mereka datang dan kata "Iki dengan Ika tahu cakap Melayu lah."

Persepsi, kecil-kecil lagi sudah punya persepsi begitu. Orang lain yang baru pulang dari luar negara, eh eh, kita pun mahu ikut-ikutan berbahasa antarabangsa. Sedangkan bahasa kita, kitalah yang perlu menuturkannya. 

Kisah di lorong itu banyak, sehinggalah suatu hari terlihat jiran kami dari rumah nombor 4 berlari pulang ke rumah dengan berbaju sekolah. "Mak! Mak! Rumah Cik Ani terbakar!"

Maka keluarlah penghuni kejiranan ini untuk memadamkan api di rumah Eli. Abang Eli, Fahmi namanya agak cuai menjerang air di dapur sehinggakan cerek itu menjadi kering dan menyebabkan kebakaran kecil. Begitulah resmi hidup berjiran, membantu sesama kita. 

Kisah rumah nombor 4 itu tak cukup lama, cerita Kak Long, Boboi, Saufi, Qori dan Tasha terhenti apabila ibu mereka meninggal dunia dan Pak Usop yang merupakan penyanyi Kopratasa tu harus bekerja di Kuala Lumpur, maka mereka semua pun berpindah ke sana. Hilang seri dan aura seni di lorong kami itu. Manakan tidak, rumah kayu nombor 4 yang dipenuhi lukisan Boboi dan peralatan rumah serba seni itu hari demi hari runtuh dek ketiadaan manusia yang menjaganya.

Rumah kita, perlu dijaga. 

Rumah nombor 1 tadi, rumah Cik Ani, Cik Mail, Rin, Dayah, Pami dan Eli. Sebuah rumah putih yang cukup indah bagi aku. Di luarnya penuh rimbunan pepohonan, bunga-bungaan dan juga tumbuhan dari spesis herba untuk masakan. Di dalamnya, segala peralatan tersusun rapi dan lantainya takkan pernah kau lihat carik-carik kertas atau bungkusan gula-gula yang berterbangan sana-sini. Kadang-kadang bebelan mak seharian di rumah apabila rumah bersepah buat aku garu kepala yang tidak gatal. 

"Cuba tengok rumah Eli tu, bersih je. Entah bila rumah ni nak berkemas agaknya ya. Bilik ni ha, entah kalau ular masuk pun tak tahu."
Percaya atau tidak, kami adik-beradik, Abang Hud, Kak Wa, Umi, Apis, Ayu, Ana, Ain dan Haiqal, masing-masing  punya kerenah tersendiri. Main lipat-lipat kertas menjadi kapal terbang, main lukis-lukis, baca buku letak sepah-sepah, tak teratur sungguh. Emak tidak melarang cuma kadang-kadang bila ada tetamu, Emak malu juga anak-anaknya tak pandai mengemas setelah bermain. Bila tetamu pulang, Emak pun sambung berleter lagi.

"Rumah kita kan Yu, tak kisahlah macam mana pun. Mak tak kisah anak-anak mak nak main, orang lain pulak yang sakit mata tengokkan. Bukan dia yang mengemas."
Maaf mak, anak-anak mak begini. 

Sekarang lorong ini, punya 4 buah rumah kembali. "Let's go to the castle!", said Miza Zafirah. Ya, rumah baru bina tu ibarat istana buat seisi penghuni lorong, rumah barulah katakan, disusun pula dengan batu-bata yang berwarna asal tanpa dioles dengan warna yang lain seperti rumah nombor 2 yang seringkali bertukar warna saban tahun. Rumah kami lah tu. Hihi. 

Mungkin, lorong itu tak semeriah dulu zaman kami kecil. Lorong itu agak sunyi dari suara-suara anak-anak kecil. Masing-masing ada yang sudah berkahwin, bekerja dan ada juga yang sambung belajar. Tapi, keindahan dan kebersihan rumah nombor 1 tadi tak pernah berubah, sunyi sepi rumah nombor 3 tadi tak  pernah berubah dan tongkang pecah rumah nombor 2 tadi tak pernah berubah juga sampailah bebelan mak yang seterusnya.
 "Rumah kita ni memang tak pernah nak berkemas agaknya."
"Haha, agaknyalah mak," balas aku yang kini dah cukup besar untuk berjenaka dengan mak. 

Nanti rumah kita bagaimana pula? hihihi 

-------

Semoga mereka juga punya rumah dan menghidupkannya bak syurga terindah di dunia. Ameen
#pray4ummah