Friday, April 10, 2015

Suatu Ketika Saat Lapar





                Si kecil berjalan keluar dari perkarangan bangunan sekolah ke hujung jalan sana berjumpa pagar yang memisahkan sekolah dengan alam realiti kehidupan. Langkah kecilnya terhenti tatkala bertemu dengan ibu sahabatnya, Izzudin. 

                “Hayati, sihat?”
                “Hihi, sihat.”
                “Makcik nak tengok buku sekolah awak boleh?”

                Hayati pun bergegas membuka zip beg galasnya sambil mengeluarkan semua buku tulis yang ada. Genggaman kecil tapak tangannya seakan tak mampu memegang buku-buku itu, lantas dicapai oeh ibu sahabatnya. 

                “Cantik tulisan Hayati.” Puji ibu Izzudin.
             “Makcik nak pinjam bawa balik buku awak boleh Hayati? Izzudin ni makcik pun tak tahu kerja sekolah dia buat ke tidak.” Kata ibu Izzudin setelah beberapa ketika membelek buku-buku tersebut.
                “Boleh.” Jawab si kecil itu ringkas sambil berlari-lari kecil menuju kepada ayahnya yang sedari tadi tunggu kepulangannya dari sekolah agama.

*****
                         Susunan  meja dan kerusi membentuk segi empat tepat, berhadapan secara dua. Kira-kira teknik pembelajaran secara koordinatif dijalankan. Lukisan-lukisan menjadi seni hiasan di dinding kelas, huruf-huruf abc menjadi latar, kalimah-kalimah suci menjadi pendinding di hadapan kelas. Wajah sultan dan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu gah di tampal. 

                         Sunyi kelas bertukar riuh dengan kehadiran kanak-kanak kecil yang begitu bersemangat untuk mengenal dunia. Tak pernah henti bertanya kenapa dan kenapa. Lincah berlari sana-sini menunjukkan kekreatifan masing-masing mencipta bola dari kertas, mencipta permainan dari pemadam, mencipta keindahan dalam kenakalan.

                         Si kecil ini melihat sahabatnya Zahrin, menyakatnya dengan mengambil botol airnya. Si kecil ini seakan-akan mahu menangis kerana di sakat oleh sahabatnya itu. Zahrin berlari riang di tengah padang sambil mengejek kepada Hayati.

                         “Wek, tak dapat tak dapat.” Ejek Zahrin kepada Hayati.
                         “Tidak mengapa Hayati, aku pergi ambilkan.” Kata sahabat baik Zahrin, Syazwan.

                         Berkejaranlah Zahrin dan Syazwan di tengah padang sambil diperhati oleh Hayati yang setia berdiam diri di pintu kelas. Si kecil ini hanya berharap emak tidak memarahinya kerana pulang nanti tanpa botol air tersebut. Tiba-tiba, seperti kisah Nabi Yusuf a.s yang teukir indah di dalam al-Quran al-Karim, baju sekolah Zahrin rabak ditarik oleh Syazwan dari belakang akibat kejadian kejar-mengejar itu.

                         Botol air dipulangkan oleh Syazwan sambil Zahrin berlari pusing ke belakang bangunan sekolah sambil menangis. Jeritan kuat kedengaran dari belakang sekolah. 

                         “Syazwan! Syazwan!! Mari sini aku nak ajarkan sikit.”

                         Hayati melihat dari sudut tingkap, ibu Zahrin memarahi Syazwan kerana telah mengoyakkan baju Zahrin. Malangnya rumah Zahrin betul-betul di belakang rumah. Teruk Syazwan dimarahi. Hayati betul-betul rasa bersalah. 

                         Bagai superhero turun dari kayangan, itu perumpamaan buat Syazwan ketika itu. Terima kasih sahabat, akan aku ingat sehingga ke akhirnya. Pergaduhan cara apapun di kala kecil hujungnya berteman semula. Tiada dendam sekelumit kecil pun.

*****
rindunya


#pray4ummah