Tuesday, June 2, 2015

Di Sebuah Lorong


Bagaimana nak mula ? 
Cerita apa ?

Pengalaman hidup semestinya mendewasakan setiap dari kita walaupun kadang-kadang tidak semua. Berdiri sekelompok dengan manusia berjiwa bantah dan memberontak, buat hasil didikan nurani patuh dan terima dalam diri goyah seketika. Teringat jelingan mata mak kepada kami semua, membuatkan kami adik-beradik duduk diam berbual bersama tanpa berlari sana-sini seperti anak kecil yang lain. 

Hidup kami di rumah itu, di sebuah lorong yang penuh kenangan. Saat mandi parit depan rumah, saat main banjir keliling rumah, saat main masak-masak di tepian, saat main kejar-kejar antara kami. Lorong itu, cuma ada 4 biji rumah. Itupun rumah sebelah, kami tak pandai berkawan kerana jarang-jarang anak-anak seumur kami pulang ke rumah datuknya di lorong itu. 

Pernah sekali, di pemisahan parit antara rumah kami dan rumah nombor 3, di situlah kami bertegur sapa dengan cucu-cucu jiran kami yang baru pulang dari Australia. Gelabah nak menyusun kata-kata, maklumlah orang putih tu!

"What is your name?"
"I'm Iki and this is Ika."
"Ohhhhh..."
Kami hanya melongo mendengar kefasihan mereka berbahasa Inggeris nak berbual seterusnya kena fikir ayat seterusnya yang belajar di sekolah untuk diaplikasikan ke dunia sebenar pula. Aduhh, kami hanya tersenyum memandang mereka dan mereka juga berbuat hal yang sama sehinggalah datuk mereka datang dan kata "Iki dengan Ika tahu cakap Melayu lah."

Persepsi, kecil-kecil lagi sudah punya persepsi begitu. Orang lain yang baru pulang dari luar negara, eh eh, kita pun mahu ikut-ikutan berbahasa antarabangsa. Sedangkan bahasa kita, kitalah yang perlu menuturkannya. 

Kisah di lorong itu banyak, sehinggalah suatu hari terlihat jiran kami dari rumah nombor 4 berlari pulang ke rumah dengan berbaju sekolah. "Mak! Mak! Rumah Cik Ani terbakar!"

Maka keluarlah penghuni kejiranan ini untuk memadamkan api di rumah Eli. Abang Eli, Fahmi namanya agak cuai menjerang air di dapur sehinggakan cerek itu menjadi kering dan menyebabkan kebakaran kecil. Begitulah resmi hidup berjiran, membantu sesama kita. 

Kisah rumah nombor 4 itu tak cukup lama, cerita Kak Long, Boboi, Saufi, Qori dan Tasha terhenti apabila ibu mereka meninggal dunia dan Pak Usop yang merupakan penyanyi Kopratasa tu harus bekerja di Kuala Lumpur, maka mereka semua pun berpindah ke sana. Hilang seri dan aura seni di lorong kami itu. Manakan tidak, rumah kayu nombor 4 yang dipenuhi lukisan Boboi dan peralatan rumah serba seni itu hari demi hari runtuh dek ketiadaan manusia yang menjaganya.

Rumah kita, perlu dijaga. 

Rumah nombor 1 tadi, rumah Cik Ani, Cik Mail, Rin, Dayah, Pami dan Eli. Sebuah rumah putih yang cukup indah bagi aku. Di luarnya penuh rimbunan pepohonan, bunga-bungaan dan juga tumbuhan dari spesis herba untuk masakan. Di dalamnya, segala peralatan tersusun rapi dan lantainya takkan pernah kau lihat carik-carik kertas atau bungkusan gula-gula yang berterbangan sana-sini. Kadang-kadang bebelan mak seharian di rumah apabila rumah bersepah buat aku garu kepala yang tidak gatal. 

"Cuba tengok rumah Eli tu, bersih je. Entah bila rumah ni nak berkemas agaknya ya. Bilik ni ha, entah kalau ular masuk pun tak tahu."
Percaya atau tidak, kami adik-beradik, Abang Hud, Kak Wa, Umi, Apis, Ayu, Ana, Ain dan Haiqal, masing-masing  punya kerenah tersendiri. Main lipat-lipat kertas menjadi kapal terbang, main lukis-lukis, baca buku letak sepah-sepah, tak teratur sungguh. Emak tidak melarang cuma kadang-kadang bila ada tetamu, Emak malu juga anak-anaknya tak pandai mengemas setelah bermain. Bila tetamu pulang, Emak pun sambung berleter lagi.

"Rumah kita kan Yu, tak kisahlah macam mana pun. Mak tak kisah anak-anak mak nak main, orang lain pulak yang sakit mata tengokkan. Bukan dia yang mengemas."
Maaf mak, anak-anak mak begini. 

Sekarang lorong ini, punya 4 buah rumah kembali. "Let's go to the castle!", said Miza Zafirah. Ya, rumah baru bina tu ibarat istana buat seisi penghuni lorong, rumah barulah katakan, disusun pula dengan batu-bata yang berwarna asal tanpa dioles dengan warna yang lain seperti rumah nombor 2 yang seringkali bertukar warna saban tahun. Rumah kami lah tu. Hihi. 

Mungkin, lorong itu tak semeriah dulu zaman kami kecil. Lorong itu agak sunyi dari suara-suara anak-anak kecil. Masing-masing ada yang sudah berkahwin, bekerja dan ada juga yang sambung belajar. Tapi, keindahan dan kebersihan rumah nombor 1 tadi tak pernah berubah, sunyi sepi rumah nombor 3 tadi tak  pernah berubah dan tongkang pecah rumah nombor 2 tadi tak pernah berubah juga sampailah bebelan mak yang seterusnya.
 "Rumah kita ni memang tak pernah nak berkemas agaknya."
"Haha, agaknyalah mak," balas aku yang kini dah cukup besar untuk berjenaka dengan mak. 

Nanti rumah kita bagaimana pula? hihihi 

-------

Semoga mereka juga punya rumah dan menghidupkannya bak syurga terindah di dunia. Ameen
#pray4ummah

No comments:

Post a Comment