Wednesday, August 31, 2016

Ros Merah Jambu dan Sawah yang Menguning





Panaan senja di sebalik tirai anak mata
"Mungkin silap saya membuka ruang kesempurnaan dan menjemput seseorang masuk ke dalamnya. Dan kini saya yang mengah. Keadaan yang jelas ini buat saya sedar, kejujuran saya menyakitkan diri sendiri. Mungkin semuanya perlu kembali seperti asalnya. Mereka mahu hidup mereka tanpa saya. Dan saya tidak perlu menjadi pendatang dalam hidup orang." 
(Surat-Surat Dari Maninjau, ms 156.) 

Satu hari sebelum berangkatnya ke Langkawi ada esak yang begitu kuat sekali di sebuah kamar yang hening suasananya. Seakan-akan pengembaraan kali ini bukan untuk keseronokan yang diimpi tapi untuk mengubati hati yang sedikit terluka. Ada sedikit keadaannya persis seperti Qhuzeil yang berangkat ke daerah Maninjau untuk merawat sepi dalam dirinya.

Mungkin tiada danau yang menghijau seperti yang dilihat oleh Qhuzeil tapi masih tersergam indahnya kehijauan air dan pepasir yang halus. Dari atas Gunung Mat Chinchang, ada desiran angin kencang yang meniup-niup pergi keresahan. Cantik hijaunya alam, masih segar air terjun yang mengalir yang dilihat dari gantungan tingkap kaca kereta kabel bergerak menuju puncak permata Langkawi. Semuanya seakan mengerti terciptanya mereka untuk menghidupkan jiwa yang mati.


Ada senyuman yang terlempar jauh untuk kau yang mengerti
Di puncaknya, kesebelasan kita membentuk satu bulatan membacakan puisi-puisi cinta karangan Saudara Rahimidin Zahari rahimahullah yang aku temukan titik kebahagiaan di setiap kata-katanya. Hari itu seperti hari kita di tepian tasik tatkala gundah-gulananya hati menanti takdir yang tidak pasti dan akhirnya kita berjaya melaluinya dengan gentar dan tangisnya. Hidup perlunya ada Dia yang kita perlu harapkan bukan?

Sukar sebenarnya untuk membaca sekali lagi Surat-surat Dari Maninjau ini buat kali kedua bila mana aku telah pun punya persoalan dan tanda tanya di setiap genap suratnya ketika di laman sesawang penulis. Betapa sakitnya jiwa saat itu menanti surat berikutnya hari demi hari, satu demi satu. Semangatnya telah hilang di telan sawah yang menguning di sana. Silap juga aku ketika dalam perjalanan, aku menekuni buku walhal di sekeliling ada hikmah yang bisa di cari.

Pagi hari kita mahu berangkat pulang, ketika gegadis menanti para jejaka untuk bersiap, ketika itulah aku mengambil kesempatan untuk menyentuh sepohon ros merah jambu yang sedang mekar cantik di tepian rumah bersebelahan pokok langsat yang berbuah lebat menguning mahu dijamah sahaja rasanya. Kaki aku langkahkan ke pokok cili padi yang gemuk-gemuk buahnya hijau. Kemudian, ada sepohon bendi berbuah dua yang telah tumbang mencecah bumi barangkali dek ditiup angin dan hujan malam semalam. Dua langkah darinya pula ada sepohon lagi cili padi yang rata-rata buahnya ada yang hijau, ada juga yang sudah jingga dan ada juga yang sudah merah. Sedikit belakang dari pepohon yang lain ada sepohon cili padi berbuah ungu, aku tersenyum melihatnya. Cantik.

Kemudian, ada selekoh yang aku ambil ke sebuah lorong yang menghubungkan aku dengan saujana sawah padi yang ingin saja aku jejaki pagi itu. Hening suasananya seperti hati yang kembali tenang. Sedang asyik melayani mata yang segar-bugar menenung jauh sawah yang terbentang, tiba-tiba ada sebuah motor memacu dari dalam lorong, aku menundukkan sedikit kepala tanda menghormati penghuni pulau ini dan kembali menenung jauh. Tuhan, apa Kau masih kira aku sebagai hamba-Mu?

Dalam keramaian dan keriuhan Dataran Merdeka tanggal 31 hari ini aku memegang erat naskhah SSDM ini, entah kenapa membaca sejarah di dalamnya seperti ada unsur patriotik yang ditinggalkan iaitu menekuni sejarah. Aku mungkin antara yang tergolong dalam kalangan mereka yang jauh dari mencintai sejarah, namun aku masih mengharap titik sejarah kemerdekaan akan sentiasa terus menjadi titik permulaan kedamaian dan keamanan sehingga hari terakhir hayat bumi. Selamat hari merdeka yang ke-59 Malaysia! 

Sejak membaca SSDM suatu masa dulu yang memberi kesan benar dalam hari-hari yang berlalu, aku masih tercari-cari apa yang ingin aku tuju. Daerah diri sendiri yang sehingga kini aku tidak mengerti apa dan bagaimana.

#pray4ummah
#DirgahayuMalaysia

Tuesday, August 30, 2016

Senja berwarna Sepi


Sepi bertanyakan
Hilang ke mana arah yang kau impikan
Segenap ruang yang ada
Kau terhenti di sudut entah arahnya
Hujan yang membasahi
Detik-detik waktu yang berlalu pergi
Jangan sesekali angkuh
Yang nanti sepi menyelimuti
Saat diam berlalu pergi

Magnificent Langkawi

Wednesday, June 1, 2016

Catatan 10:46 Malam; 31 Mei 2016





Pagi tadi dengan muka sembabnya gara-gara menangis semalam sebab letih gila bila Sabtu exam, lepas tu cepat-cepat dah ke Salak Selatan, tak buat apa sangat pun kakak kahwin belah KL ni tapi letih dia semacam betul. Ya lah perjalanan nak ke sana naik pengangkutan awam ni pun bukan 20 minit boleh sampai, tapi 1 jam 30 minit.

Malamnya tidur lewat sebab konon-konon buka buku untuk kertas hari Isnin pagi nanti. Ahad seharian di walimatul urus. Lewat petang baru balik. Malam buka buku tu bergenang air mata sebab mengantuk Tuhan sahaja yang tahu. Syukur dah ulang kaji awal hari tu dapatlah malam tu untuk proses mengingat dan kemudian tidur dengan nyenyaknya walaupun telefon buat hal tak nak hidup.

Cari padah, lepas exam pergi kerja 1130 sampai 5 petang, kemas-kemas 5.40 juga sampai bilik. Letih tu menjadi-jadi rasanya. Hampir nak maghrib, konon nak bagi telefon untuk dibetulkan. Terus turun mahallah semula dan tunggu sampailah waktu imam SHAS mosque tu rakaat kedua, nyamuk menyerang dan langit sudah gelap. Balik semula ke bilik dengan sedikit hampa. Letih Ya Allah. 

Teringat kawan kata nak nangis, nangis dekat bilik. Sampai bilik terus nangis semahunya. Letih. Itu sahaja. Lepas isya’ entah pukul berapa tidur dan yang penting mimpi Tsunami. Duhhh!

Pagi bangun dengan mata sembab macam orang tidur 24 jam. Jumpa kawan pun dia tegur “Muka!” Cakaplah apa pun, nak pergi Projek Seni Anak TFTN ni.

Kau tahu, kalau dari Gombak naik bas 200 tu turun HKL dan jalan sikit, kau akan sampai ke Balai Seni Visual Negara tu. Punyalah gigih naik bas T200 ke LRT Gombak jalan ke Monorail Bukit Nenas dan turun ke Monorail Titiwangsa, kemudian naik teksi.

Pakcik tu analisa politik anak muda yang nak mengundi, jadi perbualan dalam teksi tu tentang itulah. Sehinggalah dia teka aku ni PAS dan akan mengundi parti itu nanti. Kemudian kami menikmati perbincangan soal hudud dari corong radio dan aku mula menekuni telefon kawanku ini.

“Nak turun mana ni?”
“Balai Seni Visual Negara pakcik.”
“Haa, sini lah ni.”
“Mana pakcik? Ni bangunan apa ni? Balai tu sebelah Istana Budaya.”
“Istana Budaya belakang bangunan ni lah.”
“Oh, okay.”



Pakcik penganalisis tu tipu aku. Bodoh betul pergi percaya pakcik tu kata Balai tu belakang bangunan tu. Punyalah aku pusing bawah terik matahari pada waktu tengah hari melalui jalan berliku. Bila dah sedar dari kebodohan, aku pun berjalan ke jalan utama. Melihat langit biru yang terik sambil mencari sinar bumbung Istana Budaya. Nahh, dari kejauhan aku dapat melihatnya. Sumpah jauh pakcik ni hantar aku, belakang bangunan apa pakcik!!!

Lepas berjaya mengharungi panas terik dan sendirian bawa kaki berjalan sejauh itu, aku pun terasa bodoh sekali lagi bila tengok Balai Seni ni betul-betul sebelah Hospital Kuala Lumpur yang jadi kawan akrab aku di tahun 2016 ini. Ya Allah, berilah hidayah-Mu.

Sesampainya di Galeri aku pun terus terjumpa SOFA dan Rahman. Ya, sofa yang aku nampak dulu. Haha. Tak lama lepas tu, Azwa dan anak-anak dari Klang dan Batu Pahat berjalan-jalan di sekitar galeri pemetaan. Kemudian, aku ikut mereka ke pameran TFTN di bangunan sebelah.



Tingkat 2, café dan surau. Dapat air mineral sebotol cukup membahagiakan setelah berjalan sejauh itu dan juga nasi tomato, ayam masak merah, acar nenas dan kuah dal serta buah oren. Lepas solat Zohor, turun ke bawah dan bersedia untuk majlis pelancaran.

Waktu ini berkenalan lebih rapat dengan anak-anak ini, Aina, Zarul, Apek, Najib, Jannah, Su dan ramai lagi lah serta Volunteer Batu Pahat, Azwa, Fizi dan Zunnu. Sesungguhnya waktu tengok Jannah menceritakan lukisannya kepada VIP, tersentuh di hati. Perasaan halus ini sama dengan melihat anak-anak TFTN ketika di atas pentas PJLA dan DPAC mempersembahkan teater. Ahh, mereka ini kiriman Tuhan yang indah dalam hidup.

Jannah dan Raja Aminullah


Zarul yang tak pernah letih berlari sana-sini sangat-sangat menceriakan hari. Abang Zul yang penuh keceriaan dengan gelak tawanya buat aku jadi senang. Ucapan setiap satu yang memberi petang ini, benar-benar punya cita-cita yang besar. Tak mustahil sekiranya hari ini pameran ini dilakukan di Balai Seni Visual Negara, kelak siapa tahu hasil seni mereka diangkat ke peringkat dunia! Punya bakat akan dihantar ke German atau Eropah untuk belajar seni? Kemudian pulang semula ke Malaysia dan mengajar anak-anak yang lain? Gila! TFTN selalu gila dengan idea-idea gila mereka.



2013: Konvensyen TFTN
2014: Festival Teater Anak TFTN
2015: Teater Kota Kelip-kelip
2016: Peluang=Potensi

Huwaaaaa, terima kasih Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang dan Abang Zul khususnya. Bacalah buku, padanya ada dunia! Senyum sampai telinga :)

#pray4ummah

Monday, May 9, 2016

Utusan buat Cecikgu


Apabila ditanya soal cita-cita, aku akan terkedu sendiri. Entah apalah yang aku cita-citakan. Mahu jadi seorang doktor bedah atau doktor haiwan? Pakar biologi atau terjun dalam dunia kimia? Mungkin sahaja menjadi seorang pakar kira-kira seperti keindahan nombor dalam matematik tambahan. Hmmm...

Ada satu hari di antara hari-hari terakhir di sekolah menengah, aku tersenyum sendiri dengan gerak hati. "Nanti, aku nak kembali ke sekolah."

Aturan Allah itu jelas bila mana kau sedang melaluinya. Sedang saat ini aku tersenyum kembali bila terkenangkan 22 Jun 2016 nanti aku benar-benar akan kembali ke sekolah sebagai pelajar yang sedang belajar untuk menjadi seorang guru.

Buat para guru SMK Dato' Penggawa Barat yang dikasihi, sudilah terima bekas pelajarmu ini di sana nanti. Mohon beri tunjuk ajar agar jadi yang terindah seperti kalian. Hiks.

#pray4Aleppo
#pray4ummah
#nakbalik!

Sunday, February 7, 2016

Kota Raya


- 20012016 -

Satu hari aku berjalan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Sedang bandar itu tenat dengan simpang-siur kenderaan dan pembangunan yang berterusan.

Aku melalui lorong-lorong yang aku kira, kesan-kesan di situ adalah kesan-kesan golongan malam mencari teduhan. Kalaulah Abang Zul merantau sehingga ke nagara-negara luar untuk mencari diri, aku kira perjalanan ini sudah cukup beri ketukan buat jiwa.

Terus sahaja aku telusuri jalanan kota ini. Gahnya itu di sana, di menara berkembar itu. Manakala di lorong ini hanya yang berdiri di atasnya mengetahui. Seram itu ada, iyalah kalau tiba-tiba beberapa orang lelaki datang menerpa dan menghentak untuk mengapa-apakan. 

Teguhan jiwa itu harus ada aku kata apatah lagi di kota ini. Berjalan sendiri itu mampu tapi gusar itu ada. Ingatkanlah jiwa nanti, ada mereka di situ saat kau diulit mimpi. 

Kota rayaku, bercahayalah dikau untuk mereka berteduh di bawahmu.

--------------------------

Terima kasih untuk segalanya yang bertukar senyuman dan tawa. Menjadi pelindung duka untuk temukan bahagia.

#pray4ummah