Thursday, July 2, 2015

Kerana Surat-surat dari Maninjau



14 Jun 2015
Ahad

Ke hadapan yang dikasihi Muhammad,

Isi surat ini sudah lama aku tuliskan, bertulis tangan ketika perjalanan kerana hati sungguh benar ingin untuk menulis kala itu. Langsir aku selak menampakkan pemandangan di luar sana, tak lepas aku memandang langit yang tidak cerah. 

Pagi itu, hujan lebat bersama angin kencang yang menerbangkan dedaunan. Ayah menghidupkan enjin kereta saga lamanya, mahu menghantar adik ke sekolah. Saat itu aku jadi teringat akan Ayah yang menghantar aku ke sekolah menengah dahulu.

"Sampai bila Yu nak hantar pergi sekolah?"

Sudah hampir 5 tahun aku meninggalkan sekolah, namun Ayah, masih setia menghantar anaknya setiap pagi ke sekolah. Semoga Allah merahmatimu Ayah.

Pagi itu juga, di hadapan cermin aku mengenakan shawl adik perempuanku, Nurain. Setelah siap dililit, tiba-tiba pintu bilik dikuak oleh abang, mahu bersalaman.

"Aku nak pergi belajar ni." kata abang.

Kau tahu Muhammad, aku tersenyum senang menghantarnya ke muka pintu utama rumah sambil shawl masih terlilit di kepala. Hujan di luar seakan tidak menunjukkan sebarang isyarat pun mahu reda. Shawl aku diterbangkan oleh angin, terbuai-buai. Aku meneliti abangku yang mengenakan kaos kaki. Abang sudah punya kumis di antara hidung dan bibirnya, dibiarkan lebat pada usia 24 tahun ini. Saling tak tumpah rautnya seperti abang sulungku.

Tidak lama kemudian, sahabatnya dua orang tiba membawa proton wira berwarna merah hati. Aku menutup pintu mengiringi kepergiannya dan melihat jam di dinding, 7:20 pagi. Sudah boleh bersiap-siap barangkali. Kedengaran kereta Ayah pulang dan aku yang masih terkial-kial membawa tuala untuk ke bilik mandi ditegur oleh Ayah.

"Bangun Yuuu, kata nak balik."

Jadi teringat perbualan tempoh hari bersama Ayah, "Balik sekejap sekadar menjengah rumah sahaja Yu?"

Aku tersenyum lalu menjawab, "Nanti Ayu balik lagi ya Ayah."

Anak dara ambil benar waktu untuk bersiap, jam bakal berlepasnya bas 8:15 pagi. Emak mula menjenguk, "Sarapan dulu Yu. Mak belikan nasi lemak, lontong kering dengan ayam goreng tu." 

Mendengarkan itu, aku lantas menarik tangan Emak, "Jom." Terlihat air kopi susu terhidang di atas meja, biasanya air sebegini milik Ayah. 

"Boleh minum ke ni Mak?"
"Boleh. Tu cawan mak dah letak."

Sekecil-kecil kasih sayang itu, dah buat seorang Hayati terharu di awal pagi. Disuapnya ia lontong kering sambil menahan rasa. Emak makan nasi lemak, diberinya aku ayam goreng untuk dimakan bersama lontong kering. Sedapnya Ya Allah. Ayah yang baru mengambil tempat bersama hanya menjamah ayam goreng yang Mak patahkan bahagian kepak tadi. Aku tersenyum di dalam hati, mensyukuri nikmat terbesar Tuhan yang aku punya saat ini, yang tidak diperolehi mereka.

"Eh, pokok tipu ni hiduplah!" kata aku apabila pokok tiruan ala-ala di i-City menyala lampunya di pagi hari. 
"Kenapa hidup siang-siang ni?" tanya aku lagi.
"Automatik ni. Ada pengesan. Kan hujan ni, gelap." kata Ayah.

Betul, hujan di luar tingkap kereta Ayah terus mencurah laju. Titisan airnya besar-besar mengena cermin hadapan kereta. Sudah 8:05 pagi. Ayah terus memecut hingga ke tempat letak bas gara-gara hujan yang sangat hebat curahannya.

Sewaktu bersalaman, Emak mengirimkan salam buat kakak yang menetap di Shah Alam. Aku mengiyakan tanda menurut. Ayah pula, "Kirim salam anak-anak yatim tu."

Entah kenapa, sebak juga mendengarnya.

Begitulah Muhammad cerita aku saat itu. Menuju Kota Kelip-Kelip. Esok, aku utuskan lagi surat buat kau ya. Sama ada kau baca atau tidak, tidak mengapa. Niatku hanya ingin bercerita dalam persuratan seperti Surat-surat dari Maninjau yang sangat menyentuh hati dengan cinta penuh keberanian.

Sampai nanti,
Hayati.

#surat-suratbuatMuhammad
#mybiggestwishtoseeyouoneday
#pray4ummah

No comments:

Post a Comment