3 Julai
Jumaat
Buat Muhammad,
Malam jadi muram saat aku hilang
tujuan. Tiada kesibukan yang memapah untuk aku melewati waktu. Aku jadi kaku
dengan waktu.
Saat berdiam, aku jadi tersentak
dengan apa yang berlaku. Aku jadi laju menekan aksara di papan. Mungkin sahaja
itu salah satu ciri aku di saat kegusaran. Mencari Dia di saat aku tak mampu
menunaikan dua rakaat solat itu umpama kedinginan antartika yang menyucuk
tulang-belulang. Aku jadi kaku dengan waktu.
Muhammad, satu hari nanti ingin
benar aku berceloteh di hadapanmu. Menceritakan segala hal yang berlaku dalam
dunia aku. Serakan warna yang bercampur aduk tanpa tujuan. Sekali lagi tujuan.
Aku jadi kaku dengan waktu.
Hari itu, aku bertemankan Aminah
menunjukkan jalan kepada dua orang sister yang mahu ke Kulliyyah of ICT tetapi
sesat ke Kulliyah of Education. Sebenarnya KICT itu sangat jauh nun di atas
bukit. Namun, kami berdua tetap menghantar mereka sehinggalah tiba ke blok
E-18. Ternyata kelas mereka telah bermula. Bahasa Inggeris.
Ceritanya, aku meluahkan rasa
kepada Aminah.
“Sebenarnya Min, hayati tiada
sebab yang kukuh pun untuk berada di sini. Ambil semester pendek ini. Kalau
lihat sahabat-sahabat lain, mereka punya niat dan tujuan masing-masing, nak
perbaiki pointer, nak kurangkan subjek semester akan datang, terpaksa ambil dan
lain-lain.” Jelas aku.
“Dan sebenarnya Min, aku cuma mahu
bertemu Ramadhan, Ramadhan di sini. Dari jauh lagi dahulu aku perhatikan
Ramadhan di sini melalui media sosial. Ternyata aku jatuh cinta padanya lebih
dari segalanya.” Bicara hati aku Muhammad. Hanya di hati tersimpan.
Tetapi aku selalu kaku dengan
waktu di saat semua pergi. Aku jadi sendiri dengan diri sendiri. Sama ada
syaitan ada mahupun tidak, aku tahu aku salah. Wujudkah jalan untuk aku
Muhammad?
Ternyata Muhammad, aku takut
untuk berdoa kepada Yang Esa. Walaupun aku tahu Dia Maha Mendengar tapi akal
ini melawan dengan hujah bahawasanya doa itu tidak akan dimakbulkan kerana dosa
yang aku lakukan. Walaupun aku tahu Dia Maha Menyembuhkan, tapi akal ini
melawan dengan hujah bahawasanya sesuatu itu tidak akan berubah melainkan kaum
itu sendiri yang mengubahnya. Walaupun aku tahu Dia Maha Pengampun setelah aku
berbuat keingkaran tapi akal ini melawan dengan hujah bahawasanya azab-Nya
pedih dan perit sekali.
Dan akhirnya aku menangis
Muhammad. Ke mana harusku bawa diri ini?
Ceritakanlah kepada aku Muhammad,
bagaimana secekal itu jiwamu. Menongkah segala apa yang terjadi di sekelilingmu. Bawa daku
dengan indah senyum mu meniti cahaya agar bisa aku terokai dunia dengan
indahnya untuk hidup kali kedua di sana.
hai awak, kemana hilang nya ketemu cuma pada minggu pertama hari tu. jomm masjid hoping? hihi
ReplyDelete